PENDEKATAN DAKWAH: SATU PENILAIAN SEMULA
Kesuburan dan kesinambungan islam banyak dibantu oleh pelbagai gerakan dakwah yang sentiasa tidak jemu mengerakkan agenda dakwah masing-masing dengan harapan syiar islam terus berkembang tanpa ditenggelamkan oleh arus pemodenan manusia. Dapat kita lihat pelbagai ragam gerakan dakwah yang kadangkala hilang imej pendakwahnya hanya kerana mempertahankan agenda ideologi politik yang penuh dengan warna. Dalam memperkatakan tentang gerakan dakwah ini, dapat dilihat kebanyakkan dari gerakan ini masih kurang berjaya dalam menarik minat kebanyakan golongan muda. Walaupun ada, sudah semestinya ia terdiri daripada golongan “budak baik”. Tapi bagaimana dengan mereka yang agak “nakal” seperti mat rempit atau kutu lepak di shopping complex? Adakah mesej dakwah yang dijalankan sampai kepada golongan ini? Secara umumnya, pasti jawapannya adalah tidak.
Pendekatan dakwah yang sedia ada ini, kebanyakannya kelihatan begitu kaku dan tidak mesra kepada remaja. Kebanyakannya hanya sesuai dengan golongan yang sedia mesra pada islam ataupun yang sudah berusia. Secara umum, adakah remaja sekarang kebanyakannya menonton rancangan seperti Forum Perdana RTM, Al-Kuliyyah TV3 ataupun Halaqah TV9? Pasti jawapannya adalah tidak. Mentaliti kita sudah terbiasa dengan hanya melihat ceramah atau kuliyah agama sebagai medium untuk berdakwah. Jika ada yang lebih tradisional seperti golongan Tabligh yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Walaupun pada dasarnya niat mereka baik untuk berdakwah, tetapi pendekatan yang ia gunakan kadangkala menimbulkan masalah pada penduduk setempat sehingga kadangkala mereka diusir keluar dari tempat mereka menumpang. Namun, gerakan dakwah kini ada mengalami anjakan perubahan yang baik dari segi ilmu dan pendekatan dakwahnya. Anjakan ini dipelopori oleh golongan pro-tajdid yang semakin menampakkan peranannya dalam membentuk kelompok masyarakat islam moden yang mementingkan Al-Quran dan Hadis. Pun begitu, anjakan yang berlaku hanya dapat dilihat keberkesanannya dalam kelompok tertentu sahaja. Kebanyakkannya mereka yang bersama mendukung aliran ini adalah terdiri daripada mereka yang terpelajar ataupun golongan profesional dalam bidang tertentu. Bagaimanakah dengan mereka dari kelompok yang kurang bernasib baik seperti remaja “nakal” ini? Adakah perlu kita mengabaikan mereka seperti mana sesetengah “ahli bijakpandai” yang berakal besar tetapi berfikiran sempit sehingga tergamak menyatakan remaja yang terlibat dalam gejala mat rempit sebagai musuh negara. Atas dasar apakah ukuran yang dibuat sehingga melabelkan remaja bermasalah ini setaraf nasibnya dengan najis dadah?
Melihat kepada golongan remaja yang tersisih dalam arus dakwah ini memerlukan suatu perhatian yang serius dari semua gerakan dakwah. Cukup dengan hanya melihat realiti remaja kini tanpa melihat angka statistik, umum pasti bersetuju kelompok remaja “nakal” adalah lebih ramai daripada remaja yang “baik”. Oleh itu, untuk mengabaikan mereka dalam arus dakwah tajdid ini adalah suatu tindakan yang kurang bijak. Pendekatan dakwah yang diguna pakai hendaklah sentiasa berubah mengikut sasaran dakwahnya. Untuk mencipta satu pendekatan dakwah yang hebat sehingga mesejnya mampu sampai kepada semua peringkat masyarakat mungkin agak sukar, oleh itu mungkin dengan penggunaan perbezaan pendekatan dakwah mengikut kelompok sasaran wajar dipraktikkan. Kejayaan pendekatan dakwah Akhil Hayy dalam setiap ceramahnya sehingga dapat kita lihat ramai remaja hadir ke majlis ceramahnya tidak kiralah ceramah yang bersifat agama mahupun politik. Yang pasti, ceramah Akhil Hayy diminati oleh sebilangan besar remaja yang “nakal”. Mungkin kerana memiliki pengalaman dan jiwa yang mungkin sama, hasil pendekatan dakwah berbeza ini membuahkan interaksi dakwah dilihat amat berkesan pada kelompok ini. Oleh itu, pendekatan dakwah yang menampilkan tokoh perubahan secara realistik tanpa mewujudkan ikon perubahan yang hanya wujud dalam dunia penulisan merupakan antara strategi dakwah berkesan pada kelompok ini.
Hagemoni barat berjaya kerana penguasaan mereka terhadap media dunia, oleh itu peranan media dalam pendekatan dakwah memang tidak boleh disangkal. Tetapi pendekatan itu tidak seharusnya hanya tertumpu pada rancangan agama berbentuk formal seperti kuliah-kuliah agama, sewajarnya ia meliputi segala bidang yang bercabang dalam kerangka media massa. Bidang lakonan dan nyanyian merupakan satu medium dakwah yang amat penting dalam memastikan mesej islam sampai kepada semua golongan. Kebanyakkan gerakan dakwah menumpukan bidang dakwah pada pembinaan sekolah-sekolah atau institusi agama, ia merupakan langkah yang amat baik dan sangat diperlukan. Tetapi dalam memastikan kelangsungan dakwah islam agar terus nampak relevan dan segar, kita seharusnya mempelbagaikan pendekatan dakwah seperti membina satu institusi Akademi Seni Islam yang berperanan mengajar serta membuat filem atau lagu yang terkini tetapi tetap mempunyai itipati dakwah islam yang kuat. Walaupun kini seakan-akan ada ke arah itu, tetapi ia seolah-olah lambat untuk digerakkan. Jika ada pun, seni islam itu seolah-olah berada dalam kapsul masanya sendiri. Dalam hal ini, mungkin kita boleh mencontohi kejayaan negara Iran, tetapi bukan dalam soal menghina sahabat Nabi Muhammad SAW. Apabila yang jahil ilmu agama membuat filem atau lagu tanpa bantuan golongan agama, maka hasilnya akan memperlihatkan kejahilannya itu. Maka kita akan hanya tahu mengatakan itu tidak boleh dan ini haram. Tetapi apabila ditanya apakah alternatifnya, kita tidak mampu memberikan sebarang jawapan. Dalam cabang internet pula, alhamdulillah semakin banyak yang memainkan peranannya agar internet ini digunakan sebaik mungkin. Ramai masyarakat mendapat manfaat darinya terutamanya golongan remaja, hanya tinggal untuk membezakan sama ada ilmu itu benar-benar bermanfaat ataupun tidak.
Jika kita mengekalkan corak pendekatan dakwah seperti mana dahulu tanpa sebarang perubahan, dikhuatiri islam itu kelihatan seperti tidak releven dengan kehidupan masyarakat moden. Andai kata hal itu berlaku, siapakah yang patut dipersalahkan?
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah An Nahl: 125)
p/s: artikel tulisan aku nie telah tersiar kat surat khabar berita harian (24/12/07) kat ruangan rencana.. sape kate tulisan bloggers utem xlaku? hehe.. aku saja bagi contoh satu artikel nie bagi menunjukan penulisan blog juga satu benda yg baik.. so kepada rakan2 bloggers sekalian.. rajin2 lah menulis..
May 5, 2008 at 11:46 AM
bro.. tahniah la sebab artikel ni keluar kat surat khabar.. tapi franly aku ckap.. aku x mampu nak baca artikel ni... panjang sangat... bila ko menulis dalam blog.. janganlah tulis panjang2 macam ni...artikel dalam akhbar dengan artikel dalam blog lain bro... lagi bagus kalau artikel ni diolah sebelom publish dalam blog... hohohooh panjang la plak komen aku....
May 5, 2008 at 12:44 PM
tq atas teguran 2.. sebenarnya aku tau, pnjng sgt.. sebenarnya aku just nak mention dlm dunia blog nie ada gak penulisan yg baik dan boleh diangkat menjadi bahan rujukan pada mase depan.. byk penulisan dlm blog yg dah berjaya diterbitkan menjadi buku.. dasat wo.. pasnie aku tulis pendek sket.. hehe.. tq atas teguran 2..
May 6, 2008 at 6:41 AM
gua suka cara ko.. boleh terima teguran + kritik... kalo ade pape... nk mntak tips psal blogging ke.. rajin2 la jerit kt blog aku...aku rasa aku boleh tolong skit2 untuk naikkan trafik blog ko... hohohoho
May 7, 2008 at 3:10 AM
tq bro..
May 9, 2008 at 6:42 AM
alhamdulillah,
semoga dakwah terus berkembang.. amin
takbir3x